Cute Red Flying Butterfly

Wednesday, January 23, 2013

Penjual Pasar Malam

 
 
 “Mir.”

Mulut Adnan terjuih ke sebelah kanan sebelum kembali menggoreng nasi goreng ikan masin. Hidungnya bergerak-gerak menahan bau ikan masin yang menusuk hidung. Kepala Amir automatik terpusing ke sebelah kanan. Perempuan bertudung pink dengan boyfriendnya mungkin. Makcik berbadan besar berbaju kurung. Pekerja Medin dengan baju biru kuningnya. Itu antara yang tertangkap dek mata bundar Amir di balik orang ramai yang mengunjungi pasar malam. Tangannya masih bergerak-gerak menggoreng kue tiau. Kalaulah lehernya lebih panjang.

“Apanya Adnan? Aku tak nampak pun.”

“Dia tak nampak pulak!!!” kata-kata Adnan mungkin tak dapat didengari Amir. Adnan masukkan nasi ke dalam belanga besar.

“Bang.”

Amir angkat muka. Terkejut. Sudip di sebelah kanan terlepas dari tangan dan termasuk ke dalam belanga berisi kue tiau goreng. Cepat-cepat Amir mencapai dengan tangan. Dan secepat itu juga Amir melepaskan semula sudip dan menggoyang-goyangkan tangan kanan kerana kepanasan. Dia pandang semula tangan kanannya itu. Mujur belum sempat melecur. Baru dipandang semula gadis di depannya. Mukanya merah menahan malu. Gadis itu tersenyum. Menahan tawa mungkin.

“Ya dik?”

“Err, mee goreng satu.”

Amir gelabah. Sempat dikerlingnya Adnan yang tengah menahan gelak. Amir pusing ke meja di belakang. Mengambil bungkusan mee goreng yang selesai digoreng sebentar tadi. Di masukkan pula ke dalam plastik biru. Lalu dia berpusing ke depan dan menghulurkan bungkusan mee goreng kepada gadis itu. Gadis itu menjenguk ke dalam plastik.

“Cili jeruk bang?”

Amir seraya berkalih semula ke meja belakang dan mencapai sebungkus kecil cili jeruk lalu diletakkan dalam plastik berisi mee goreng. Adnan terbatuk. Amir fikir dia tengah ketawa.
Si gadis menghulurkan sekeping not merah. Amir menyambut dan menyeluk poket apronnya. Tangannya berpeluh-peluh. Amir menghulurkan baki kepada gadis yang masih tersenyum kecil itu.

“Jjual dik.” Sedikit gagap.

“Err. Bang?”

Amir pandang gadis itu lagi. Jantungnya kembali berdegub. Apa lagi ni?

“Err, mee goreng tu RM2 kan?”

Amir angguk.

“Baki ni abang bagi rm6.”

Adnan menepuk dahi. Amir segera keluarkan lagi RM2 dari poket apronnya. RM2 bertukar tangan.

“Maaf ye dik.” Amir memohon maaf.

“Tak pe.” Seraya gadis itu tersenyum.

Amir terasa seperti hendak pengsan. Petang Sabtu yang dinanti-nanti berlalu dengan senyuman gadis misteri itu dalam fikiran Amir. Amir tidak tahu siapa dia. Tidak tahu namanya. Tidak tahu asalnya. Tidak tahu umurnya. Apa yang Amir tahu setiap petang Sabtu gadis itu akan kelihatan sama ada berseorangan atau bersama teman-teman. Sejak bertemu gadis itu tiga bulan yang lalu, Amir teringat-ingat. Terutamanya senyuman yang meruntun hati lelakinya. Amir bukanlah lelaki yang peramah, malah dia agak pendiam. Lain benar jika dibandingkan dengan Adnan. Gadis pekerja Medin pun pernah di tanya nombor telefon, ingin berkenalan. Amir tidak pernah bertanya lebih kepada gadis itu. Dia gementar. Takut. Malu.

“Malunya kalah perempuan.”

Amir diam. Memandang ke luar tingkap van buruk milik Adnan.

“Kenapa kau tak tanya je. Adik nama apa? Belajar lagi ke?”

Amir diam lagi. Sikunya diletakkan di tingkap yang terbuka luas. Ibu jari termasuk sedikit ke dalam mulutnya. Sesekali menggigit kuku ibu jari tangannya itu. Minggu itu berlalu macam biasa. Dan seperti biasa juga Amir menantikan petang Sabtu. Dalam banyak-banyak hari pasar malam – Amir dan Adnan tidak berniaga di pasar malam pada hari Jumaat – hari Sabtu yang ditunggu-tunggu.
Kali ini Amir muncul dengan plan baru. Dan dia cuma perlu menunggu kehadiran gadis itu. Pukul 6 petang gadis itu belum muncul. Amir gementar.

“Bang?”

Hatinya kembali berbunga.

“Mee goreng eh.”

“Berapa?”

“Satu.” Sambil jari telunjuknya di angkat tegak.

Amir menyigung lengan Adnan. Adnan berdehem.

“Abang selalu nampak adik kat sini. Belajar sini ke?”Gadis itu senyum. “Ya.”

Amir yang mendengar pura-pura sibuk menyiapkan bungkusan mee goreng gadis itu.

“Ooo. Belajar jurusan apa?”

“Perubatan.” Amir tersentap. Bakal doktor rupanya.
Seperti biasa Amir menghulurkan bungkusan mee goreng kepada si gadis dan RM2 bertukar tangan.

“Kau ni. Dalam banyak-banyak soalan yang kau nak tanya, kenapa kau tanya dia belajar apa? Orang tanya nombor telefon ke, tinggal kat mana ke.”

Adnan terus membebel. Amir terus diam. Malah dia lebih diam berbanding selalu.
Dalam van Amir termenung. Malam itu di ruang tamu, Amir mengeluarkan satu kotak sederhana besar dari bilik. Lalu dihembus-hembus penutup kotak yang berhabuk itu. Adnan yang sedang menonton TV memandang pelik.

“Kau nak buat apa tu?”

Soalan Adnan dibiarkan sepi. Amir terus membuka penutup kotak dan menyelongkar kotaknya.
Kening Adnan terangkat sebelah. Amir mengeluarkan sebuah fail berwarna biru. Diselak-selak helaian fail itu. Adnan berkesot, duduk bersila di sebelah Amir.

“Apa tu?”

Amir tidak menjawab. Mata Adnan tertumpu ke arah helaian itu. Matanya terbuka luas.

“Result SPM kau ke ni?” Amir mengangguk.

 “Pandai jugak engkau!” Adnan bersorak kuat. “Tapi kau nak buat apa dengan sijil SPM ni?”

“Aku nak sambung belajar.” Amir membalas. Adnan terkejut. “Kau biar betul?”

“Betullah.” Amir tengok muka Adnan.

“Dah tua ni baru kau nak sambung?”

“Mana ada tua. Aku baru 25.”

Adnan menepuk dahi. “Kau buat ni sebab budak perempuan tu ke?” Amir diam.

“Mir, kau nak sambung belajar apa? Budak perempuan tu nak jadi doktor kot. Tak payahlah.”

“Sekurang-kurangnya aku belajar jugak. Budak perempuan tu takkan pandang orang macam kita ni.”

“Hah! Sedar pun kau. Kita ni kerja apa je.” Amir diam.

“Kau dah jatuh cinta sangat ke kat budak perempuan tu?”

“Aku rasa dialah orangnya.” Amir membalas tanpa memandang Adnan. Adnan terdiam. Kali pertama dia melihat Amir sebegini rupa.

“Kenapa dulu kau tak sambung belajar? Keputusan kau bukannya teruk sangat pun. “

“Aku mana ada duit Nan. Dahlah mak dengan ayah pun tak ada.” Adnan tersentuh. “Kau kerja dengan aku ni sebab kau nak kumpul duit belajar ke?” Amir diam lagi.

“Tapi Mir. Berapa tahun kau nak belajar? Kalau kau ada diploma pun ada ke perempuan tu nak pandang kau? Kurang-kurang kau kena belajar sampai ijazah. Dah enam tujuh tahun habis.”

“Lagi satu Mir, sanggup ke dia tunggu kau lama macam tu? Dan soalan yang paling penting.” Adnan terdiam dan pandang Amir lama. “Dia suka ke tak kat kau? Lepas tu kau nak belajar sebab dia? “
Amir tak dapat jawab.

“Sudahlah Mir.” Punah hati Amir mendengar jawapan begitu dari temannya. Pagi Ahad itu Amir menaiki motosikal ke kafe siber berdekatan rumahnya. Mahu mencari maklumat untuk menyambung pelajaran. Kalau boleh dia mahu ke IPTA sahaja. Kosnya tidak semahal IPTS.
Pulangnya dia dari kafe siber dengan senyuman yang lebar. Seronok dia bercerita kepada Adnan yang sedang menonton TV.

“Nan. Kau marah ke?” Adnan diam.

“Kalau kau tak cukup duit, kau pinjamlah duit aku dulu. Aku ada simpan duit sikit.” Amir pandang wajah Adnan dalam-dalam. Dia memeluk Adnan. Terharu. Sabtu minggu itu terasa lebih bermakna. Dia senyum sahaja, melayan pelanggan dengan ramah. Dan yang pasti, menanti si gadis pujaan. Namun, petang Sabtu semakin gelap.

“Tak ada pun Nan?”

“Dia ada hal kot.”

“Tiap-tiap minggu datang je.”

Penantian Amir petang itu sia-sia.Sabtu seterusnya Amir menanti dengan harapan. Namun bayang gadis itu masih tidak kelihatan.

“Dia balik kampung kot Mir. Cuti ke diorang tu.” Amir sedapkan hati dengan anggapan Adnan itu.
Minggu ketiga Amir masih berharap. Hatinya lebih berbunga kali ini kerana dia baru sahaja menghantar permohonan untuk melanjutkan pelajaran. Dan petang itu.

“Bang?” Adnan tersenyum. Amir tersengih.

“Mee goreng dua.” Amir mengangguk. Sedikit pelik apabila si gadis meminta dua bungkus mee goreng. Untuk rakannya mungkin.

“Yang ni ke?” Tiba-tiba satu suara garau singgah di telinga Amir.

“A’ah. Sedap bang. Ika selalu beli sini.” Amir berpusing, menghulurkan bungkusan mee goreng lantas melihat pemilik suara garau. Si lelaki menyambut bungkusan. Siapa lelaki ni?

“Empat ringgit eh?” Si gadis menghulurkan empat keping not biru kepada Amir. Amir menyambut empat ringgit. Sempat melihat jemari runcing si gadis. Merah berinai. Amir rasakan jantungnya berhenti bergerak.

“Abang nak beli apa lagi ni?” Si gadis bertanya kepada sang lelaki. Mereka berjalan pergi. Sang lelaki memegang erat jemari si gadis yang merah berinai. Amir melihat gadis dan lelaki itu pergi sehingga hilang dari pandangan. Dia terpana. Adnan sekadar mampu menepuk bahu Amir.

No comments:

Post a Comment

conteng-conteng

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...